Fakta kes 1 (6 Februari 20XX)
SEORANG pengarah projek yang dibuang kerja tiga tahun lalu, mendapat gaji tertunggak dan pampasan berjumlah RM350,xxx.xx selepas Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur mendapati pembuangannya adalah tanpa sebab munasabah.
Beliau yang dibuang kerja kira-kira lima tahun lalu mendakwa pembuangannya itu tanpa sebab munasabah dan berniat jahat.
Fakta kes 2 (21 April 20XX)
MAHKAMAH Perusahaan memerintahkan Syarikat ABC membayar gaji tertunggak dan pampasan sebanyak RM45,xxx kepada dua pekerjanya yang dibuang tanpa sebab munasabah, empat tahun lalu.
Selain itu, syarikat itu diperintahkan mengambil semula Puan K bekerja sebagai operator tanpa kehilangan kekananan dan faedah lain berkuat kuasa pada 15 Mei 200x.Saya sengaja memberikan dua fakta kes di atas kerana sejak akhir-akhir ini, saya sibuk mengkaji beberapa kes yang membabitkan Mahkamah Perusahaan (Industrial Court).
Seorang klien telah menghubungi saya baru-baru ini, menangis di hujung corong telefon kerana mendakwa majikannya telah bertindak zalim dan memberhentikannya kerja.
Oleh kerana saya tidak mahu menghampakan Rosman (bukan nama sebenar) yang kini risau akan tanggungannya seramai enam orang, saya cuba meneliti beberapa kes terdahulu untuk dijadikan panduan dan rujukan.
Di sepanjang kajian saya itu, beberapa fakta menarik telah saya temui menjadikan kes seumpama ini semakin mencabar minda dan teori amalan guaman saya. Dan oleh kerana kes seumpama ini mungkin berlaku kepada sesiapa saja diluar sana, saya terfikir untuk berkongsi perkara ini dengan pengikut setia ruangan ini.
Satu perkara yang saya boleh pasti di sini ialah, Mahkamah Perusahaan merupakan mahkamah yang paling tidak digemari oleh pihak majikan kerana di sinilah para pekerja mereka yang tidak berpuas hati, terutama apabila diberhentikan dengan cara yang salah, mengadu nasib dan seterusnya mendapat pampasan serta gantirugi.
Sepanjang sepuluh tahun yang lepas, memang banyak kes pertikaian di antara majikan dengan pekerja telah dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan. Peningkatan kes ini sebenarnya harus dilihat secara positif kerana telah wujud kesedaran di kalangan pekerja mengenai hak mereka di sisi undang-undang.
Berdasarkan kes yang dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan sebelum ini, ada tiga sebab utama majikan didapati sering kalah dalam perbicaraan di mahkamah yang menyebabkannya diarahkan mengambil semula pekerja itu atau diarah membayar kadar pampasan.
Antara sebab berkenaan ialah :
* Kekurangan bukti mengenai kesalahan pekerja,* Kegagalan mengikut prosedur betul sebelum memecat pekerja, dan ;* Tidak memahami hak pekerja.Ramai majikan gagal menyediakan bukti mencukupi untuk mengukuhkan kes mereka terhadap seseorang pekerja di Mahkamah Perusahaan.
Ini berpunca daripada pelbagai faktor iaitu kegagalan mengemukakan rekod mengenai kesalahan pekerja berkenaan kerana sememangnya tidak direkodkan.Contohnya, dalam soal kemerosotan pencapaian kerja, sebarang nota mengenai kaunseling yang diberikan dan surat amaran yang dikeluarkan majikan mesti direkod dan difailkan.
Tidak ada gunanya majikan hanya mengeluarkan amaran kepada pekerja tanpa disertakan bukti pernah berbuat demikian dalam bentuk tulisan kerana ia boleh dinafikan oleh pekerja itu. Ketiadaan dokumen sebegini akan `memusnahkan’ kes yang dikemukakan majikan terhadap pekerjanya.
Kebanyakan kes yang difailkan akan mengambil masa sehingga dua tahun untuk tiba di Mahkamah Perusahaan.
Dalam tempoh panjang ini, saksi bagi pihak syarikat akan mendapati ingatan mereka terhadap sesuatu kes yang menyebabkan penamatan kerja berkurangan.
Keadaan ini menyebabkan kenyataan daripada saksi berhubung sesuatu kes gagal meyakinkan mahkamah.
Ada kalanya saksi tidak lagi bekerja di pertubuhan itu dan mungkin tidak mahu lagi bercakap mewakili syarikat.
Peluang majikan untuk menang dalam kes di Mahkamah Perusahaan lebih cerah jika mengikut nasihat diberikan serta mendapatkan bantuan penasihat undang-undang sebelum mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja.
Saya ingin menasihatkan pihak majikan supaya berusaha sehabis baik untuk mengelakkan sesuatu trauma, tidak berlaku adil dan pemberhentian pekerja secara tidak sah.
Di pihak pekerja yang tertindas, saya sarankan beberapa langkah yang perlu diambil apabila mendapati mereka dibuang kerja atau ditamatkan perkhidmatan tanpa sebab yang munasabah.
Pertama, failkan terus kes ke Jabatan Perhubungan Perusahaan. Anda boleh memfailkan kes untuk mendapatkan semula pekerjaan mengikut Akta Perhubungan Perusahaan 1967 Seksyen 20(1) di Jabatan Perhubungan Perusahaan dalam masa 60 hari dari tarikh mereka dikenakan tindakan.
Perlu diingatkan supaya membuat aduan tidak lebih 60 hari (dua bulan) dari tarikh dikenakan tindakan, jika tidak kes anda tidak akan dilayan.
Memahami hak pekerja bukan menjadi masalah besar jika seseorang majikan berusaha mendapatkan maklumat mengenainya dan mengetahui mereka sebenarnya tidak mempunyai hak untuk membuang pekerja sesuka hati.
Di pihak pekerja pula, jangan teragak-agak untuk merujuk kepada mana-mana peguam jika anda berasa teraniaya dan diberhentikan secara zalim oleh majikan.
Ingatlah, undang-undang sedia ada cukup adil untuk semua dan kita berhak menikmatinya!
* Penulis ialah Peguam Sivil Mahkamah Tinggi Malaya & Peguam Syarie Mahkamah Tinggi Syariah.
(Petikan dari Mstar online)
hi,can u recommend me a good lawyer that have successfully done legal suit on behalf on the employee..i had been recently wrongly dismissed by my employer..need some advice from lawyer.tq.noraini
ReplyDelete